Home : Digicert @ News     Digicert Akan Labur Hingga RM40 Juta
     
Digicert Akan Labur Hingga RM40 Juta
 
http://www.utusan.com.my
Updated: January 10, 1999

________________________________________________________________________________________________________________

 

SYARIKAT badan persijilan (CA) digital pertama negara, Digicert Sdn. Bhd. menjangka akan melabur antara RM30 juta hingga RM40 juta dalam jangka masa tiga tahun beroperasi sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memasuki pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Digicert, Noor Azli Othman berkata, pelaburan yang besar diperlukan untuk melengkapkan sistem prasarana syarikat sebelum berupaya memasuki pasaran antarabangsa yang mempunyai persaingan yang sengit.

"Pelaburan yang besar diperlukan dalam perniagaan ini dan pulangannya hanya dijangka akan diperolehi dalam masa empat hingga lima tahun operasi sahaja,'' katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan, Digicert dijangka akan mengeluarkan kira-kira 45,000 sijil tandatangan digital untuk pengguna Internet menjalankan transaksi perdagangan elektronik (e-dagang) di negara ini selepas setahun beroperasi.

"Syarikat kami yang dalam proses mendapat kelulusan operasi itu menjangka akan meningkatkan pengedaran sijil digital tersebut kepada 80,000 dan 100,000 pengguna selepas dua atau tiga tahun beroperasi,'' katanya.

Beliau berkata, syarikatnya yang merupakan syarikat kerjasama antara MIMOS Berhad, Pos Malaysia dan GITN Sdn. Bhd. akan mengeluarkan sijil pertama mereka dalam masa dua bulan lagi.

Katanya, syarikatnya kini sedang diaudit oleh syarikat pengaudit antarabangsa sebelum mendapat lesen operasi yang akan membolehkan Digicert menawarkan kemudahan perkhidmatan tersebut.

"Hasil daripada ujian yang dijalankan baru-baru ini, kami mendapati pasaran untuk produk ini mempunyai potensi di negara ini terutamanya apabila lebih banyak tapak e-dagang diperkenalkan,'' katanya.

Digicert akan mengeluarkan tiga jenis kelas sijil digital mengikut tahap peraturan keselamatannya, katanya.

Dua kelas pertama yang akan diperkenalkan kelakakan dikenali sebagai DIGISIGN™ ID yang akan digunakan oleh individu dan juga syarikat, manakala kelas ketiga yang akan dikenali sebagai DIGISIGN™ Server ID yang dikhususkan untuk syarikat melindungi tapak e-dagang mereka.

Katanya, sebagai salah satu dari aktiviti pemasaran, Digicert telah melantik tiga syarikat yang akan bertindak sebagai badan penguasa berdaftar (RAs).

Setakat ini, tiga RAs adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan sedia ada kerana kami perlu juga memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh badan pengawal iaitu Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, katanya.

Sebagai RAs, syarikat-syarikat tersebut akan menjalankan penilaian kesesuaian ke atas pelanggan untuk permohonan sijil digital dan kemudiannya memaklumkan maklumat tersebut kepada Digicert yang seterusnya akan mengeluarkan sijil tersebut.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next