Home : Digicert @ News     Hanya Sijil Digital Digicert Dilindungi Akta
     
Hanya Sijil Digital Digicert Dilindungi Akta
 
http://www.utusan.com.my
Updated: August 8, 1999

________________________________________________________________________________________________________________

 

Digicert yang dilantik sebagai Pihak Berkuasa Pemerakuan (CA) sijil digital pertama di negara ini merupakan pengeluar sijil digital selamat yang dilesenkan oleh kerajaan melalui Pejabat Pengawal Pihak Berkuasa Pemerakuan yang ditubuhkan di bawah undang-undang siber Malaysia.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie berkata, sekiranya para pengguna Internet yang menggunakan perakuan digital daripada syarikat yang tidak dilesenkan oleh kerajaan, maka segala transaksi yang dibuat tidak akan dilindungi oleh undang-undang dan sukar untuk dibuktikan di mahkamah jika terdapat sebarang masalah.

Katanya, selain daripada boleh digunakan untuk bukti mahkamah, penguatkuasaan Akta Tandatangan Digital akan membolehkan pengguna Internet mengesahkan identiti pihak yang berurusan dengan mereka (authentication) dan mengesahkan tandatangan digital yang dihasilkan tidak dipalsukan.

''Ini kerana tandatangan digital tersebut adalah setaraf dengan tandatangan bertulis, cap jari atau tanda-tanda lain dan ianya diiktiraf di sisi undang-undang,'' katanya pada majlis penyerahan lesen pengendalian dan pihak berkuasa pemerakuan kepada Digicert Sdn. Bhd di Kuala Lumpur, minggu lepas.

Sehubungan itu, pihak-pihak yang berurusan dengan menggunakan teknologi di bawah akta ini tidak boleh menafikan penglibatan mereka dalam transaksi tersebut.

Moggie berkata, melalui kewujudan CA dan seterusnya penguatkuasaan Akta Tandatangan Digital, kerajaan menjangkakan bahawa ia akan mengembangkan perdagangan elektronik (e-dagang) dengan pesatnya.

''Saya juga percaya melalui perkembangan ini, perlaksanaan Kerajaan Elektronik (e-kerajaan) akan dapat direalisasikan dengan cepat dan lancar,'' katanya.

Moggie berkata, lesen pemerakuan adalah penting bagi melengkapkan penyediaan mekanisme dan persekitaran yang perlu bagi melancarkan pelaksanaan e-dagang yang merupakan satu daripada aplikasi utama bagi Koridor Raya Multimedia (MSC).

Menurutnya, satu daripada penghalang utama kepada perkembangan e-dagang ialah aspek keselamatan terutama berkaitan dengan keraguan pengguna mengenai tahap keselamatan urusan mereka di Internet.

''Akta Tandatangan Digital 1997 dan pengeluaran lesen Pihak Berkuasa Pemerakuan ialah antara langkah-langkah positif yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu keselamatan transaksi melalui penggunaan Internet,'' tambah beliau.

Ditanya mengenai sebuah lagi syarikat CA yang disertai oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC), Moggie berkata, kerajaan telah memberi kebenaran untuk syarikat tersebut menjalankan aktiviti-aktiviti yang akan membolehkan penubuhannya sebagai CA di masa depan.

''Bagaimanapun, kita menjangka syarikat tersebut memerlukan masa untuk membolehkan ia layak mendapat lesen pengeluaran sijil digital kerana ia memerlukan proses yang rapi dan teliti seperti yang turut dihadapi oleh Digicert sebelum ini,'' katanya.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next