Home : Digicert @ News     MIMOS Bangunkan Teknologi Sijil Digital iVEST
     
MIMOS Bangunkan Teknologi Sijil Digital iVEST
 
http://www.utusan.com.my
Updated: August 8, 1999

________________________________________________________________________________________________________________

 

Presidennya, Datuk Tengku Dr. Mohd. Azzman Shariffadeen berkata, iVEST akan membolehkan peyediaan persekitaran selamat dan juga perkhidmatan selamat bagi urusan sijil digital yang akan ditawarkan melalui Digicert Sdn. Bhd., Pihak Berkuasa Pemerakuan (CA) sijil digital pertama di negara ini.

''Pada masa ini kami menawarkan secure kit yang mengandungi empat komponen iaitu kad pintar, pembaca kad pintar, perisian antara muka Plug-in dan sijil digital,'' katanya pada majlis penyampaian lesen operasi CA untuk Digicert yang merupakan syarikat usahasama Pos Malaysia dan MIMOS Berhad.

Beliau berkata, kit secure yang digunakan bersama sijil digital Digicert kini menggunakan enkripsi sebanyak128 bit tetapi boleh diperluaskan hingga lebih daripada 1,000 bit di masa hadapan.

''Ia merupakan hasil teknologi MIMOS sendiri dan inilah salah satu hasil usaha kami memberi kemudahan kepada pengguna Internet,'' katanya pada majlis tersebut yang disaksikan oleh Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie di Kuala Lumpur, minggu lepas.

Tengku Azzman yang juga Pengarah Digicert berkata, pelantikan Digicert sebagai pengeluar sijil digital, pengguna-pengguna Internet dan mel elektronik (e-mel) di Malaysia akan boleh menjalankan urusan rasmi melalui elektronik dan perdagangan elektronik (e-dagang) dengan yakin.

Lesen operasi yang diberikan kepada Digicert Sdn. Bhd. sebagai CA rasmi yang pertama di negara ini itu akan membolehkan urusan transaksi e-dagang serta e-mel menggunakan sijil digital Digicert dilindungi oleh Akta Tandatangan Digital 1997.

Digicert yang menerima lesen pengendalian dari Pihak Berkuasa Pemerakuan Malaysia itu telah menawarkan sijil tersebut yang terbahagi kepada perkhidmatan sijil individu dan sijil untuk komputer pelayan (server) syarikat.

Pada majlis itu juga, Pos Malaysia dan MIMOS Berhad menerima dokumen pelantikan sebagai Pihak Berkuasa Pendaftaran (RA) bagi memulakan kaunter penjualan sijil digital di Pejabat Besar Pos Kuala Lumpur dan di ibu pejabat MIMOS di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil.

Beliau berkata, pihaknya akan menubuhkan perkhidmatan pendaftaran sijil itu di semua 14 kaunter pejabat pos negeri sebelum Jan 2000 bagi memastikan sijil digital itu dapat diperolehi dengan mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif Digicert Sdn. Bhd., Noor Azli Othman berkata, syarikatnya menjangkakan penjualan sijil digital bagi tahun pertama operasinya akan mencecah kepada 50,000 hingga 100,000 sijil terutamanya apabila digunakan dalam aplikasi kerajaan elektronik.

Sijil digital merupakan fail teks yang disimpan di dalam komputer pengguna atau kad pintar dan ia boleh diperolehi daripada CA dengan bayaran tertentu.

Ia berfungsi seperti kad Mesin Autoteller (ATM) yang membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan dan menjalankan transaksi secara selamat.

Harga tawaran yang ditentukan oleh Digicert ialah antara RM15 hingga RM40 bagi individu manakala sektor swasta pula ditawarkan kepada harga antara RM100 hingga RM500 yang kesemuanya boleh digunakan dalam tempoh setahun.

''Kami akan menubuhkan perkhidmatan Pihak Berkuasa Pendaftaran (RA) bagi penjualan sijil digital ini di kesemua 14 kaunter Pejabat Pos Negeri di Malaysia di mana projek ini akan siap sebelum Januari 2000,'' katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri dan Timbalan Tenaga, Telekom, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie dan Datuk Chan Kong Choy, Presiden dan Ketua Eksekutif Mimos, Tengku Azzman Shariffadeen , Pengerusi Eksekutif Pos Malaysia Tan Sri Datuk Zainal Mahmood.

Sementara itu, Digicert juga mengumumkan mengadakan kerjasama dengan syarikat pengesah sijil digital terkenal ValiCert Inc. dan juga melantik American Home Assurance sebagai penanggung underwriter.

Kerjasama dengan ValiCert akan membolehkan syarikat itu berkongsi kepakaran dalam menawarkan kemudahan infrastruktur public-key (PKA) untuk sijil digital.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next