Home : Digicert @ News     K-Ekonomi untuk Masa Depan - Tengku Azzman
     
K-Ekonomi untuk Masa Depan - Tengku Azzman
 
http://www.utusan.com.my
Updated: Januari 16, 2000

________________________________________________________________________________________________________________

 

MEGABAIT: Sebagai sebuah organisasi membawa industri IT di Malaysia apakah rancangan dan wawasan MIMOS dalam alaf baru bagi melengkapkan lagi apa yang telah dilaksanakan sebelum ini?

TENGKU AZZMAN: Sebenarnya MIMOS telah melalui beberapa fasal dalam pembangunan. Mula-mula ia hanyalah sebuah organisasi kecil dan idea yang kecil sahaja dan tidak bercita-cita tinggi. Tetapi setelah dimulakan 15 tahun dulu nampaknya perniagaan itu lebih besar daripada yang dijangkakan. Kami memulakannya dengan idea elektronik sahaja dan ditambah dengan teknologi maklumat (IT) atau boleh dikatakan dalam bentuk teknikal dan teknologi sahaja.

Tetapi kini ia berkembang bukan setakat teknologi malahan juga perubahan sosial, ekonomi dan pentadbiran. Seluruh masyarakat kita menjadi pemain utama bagi kami. Ia menakjubkan tetapi telah menjadi kenyataan.

Dari pandangan itu MIMOS yang dimulakan sebagai sebuah jabatan kerajaan kecil, kemudian pada awal 90-an ia berkembang juga sebagai jabatan kerajaan dengan kakitangan sekitar 300 orang. Pada November 1996 kami menjadi sebuah syarikat dengan kakitangan ditambah sehingga 600 orang. Liputan perniagaan kami dikatakan begitu luas tetapi sebenarnya kita mempunyai fokus. Hanya pada 1999 dapat dikeluarkan dengan fokus dan ia berlaku ketika MIMOS sebagai organisasi korporat. Pada 1998 kami membuat penstrukturan semula penyelidikan dan hasil pada tahun lepas datangnya daripada langkah tersebut.

Ringkasnya pembangunan MIMOS bertolak dari empat langkah dengan terasnya adalah dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi. Kami mencubanya dengan menghasilkan produk, aplikasi dan perkhidmatan sebagai langkah pertama dan kedua. Langkah ketiga pula, kami mencubanya dalam pasaran dan sekiranya berhasil kami ke langkah keempat dengan menubuhkan syarikat iaitu syarikat sendiri atau perkongsian bersama.

Sekarang kami telah ada syarikat sendiri seperti Smart Computing manakala perkongsian seperti Digicert Sdn. Bhd. Insya-Allah beberapa lagi syarikat akan dilancarkan tahun ini. Kita bercadang untuk mengeluarkan syarikat semikonduktor, syarikat Internet dan lain-lain termasuk juga Ivest yang boleh dijadikan syarikat. Itu adalah hasil daripada beberapa tahun selepas penstrukturan semula organisasi.

Sekarang ini kami melalui satu fasa baru melalui Agenda Korporat MIMOS yang saya bentangkan November lepas. Kami akan berubah untuk menangani persekitaran Web berasaskan pengetahuan. MIMOS akan menjadi syarikat asas pengetahuan (knowledge company).

Rancangan sekarang ini ialah menstrukturkan semula organisasi MIMOS supaya lebih terfokus dan meningkatkan kapasiti bagi melancarkan lebih banyak hasilnya daripada R&D. Suasana persekitaran di Malaysia memerlukan lebih banyak aktiviti komersial.

Kami akan mengembangkan kaedah Web Enterprise (syarikat Web) bukan hanya untuk MIMOS tetapi juga bagi membantu syarikat lain. Dengan memberikan bantuan tersebut kami juga akan mendapat bahagiannya juga. Jadi produk dan perkhidmatan yang dihasilkan selepas ini adalah berasaskan kepada Web.

Tidak semestinya kami yang memulakan syarikat ini tetapi mungkin ada pengusaha lain yang memulakannya dan kita membantu mereka sehingga berjaya. Banyak bentuk bantuan boleh diberikan seperti kemudahan menggunakan JARING, kemudahan R&D kami atau juga meminjam kakitangan kami. Pada akhirnya jika ia berjaya kami mahukan ekuiti kami dalam syarikat terbabit.

MEGABAIT: Apakah bentuk produk dan perkhidmatan yang boleh dikeluarkan berdasarkan kepada kaedah ini?

TENGKU AZZMAN: Potensinya sangat banyak dan pelbagai. Saya yakin banyak pengusaha yang membuat perniagaan Web ini akan berjaya jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Kita lihat permintaannya sangat banyak malahan di Amerika Syarikat, berpuluh ribu pengusaha yang memulakan perniagaan seperti ini walaupun bukan semuanya berjaya. Di Malaysia saya belum nampak ada syarikat yang benar-benar berjaya tetapi sudah ada yang memulakannya secara kecil-kecilan seperti Catcha.com atau Akinet yang menjual kereta dan lain-lain.

Banyak yang mencuba tetapi mereka masih di peringkat belajar. Apa yang kurang menyenangkan ialah oleh kerana tidak mendapat sambutan di Malaysia. Institusi kewangan kita masih belum yakin dan kurang mengetahui mengenai potensinya, sebab itu mereka tidak mahu membiayai atau memberikan pinjaman kepada mereka. Apabila mereka sudah tidak sanggup lagi, mereka mencarinya dari sumber lain di luar negara seperti di Singapura.

MEGABAIT: Sebagai orang penting dalam NITC, boleh Tengku jelaskan sejauh mana pelaksanaan dan pencapaian ke arah melahirkan masyarakat madani sepertimana matlamat utama dalam Agenda IT Negara?

TENGKU AZZMAN: Kami telahpun membangunkan agenda baru iaitu lima Dunia-E (e-pendidikan, e-kerajaan, e-komuniti, e-dagang dan e-kedaulatan) dan tidak lagi hanya agenda asal NITA. Lima pendekatan baru itu telah kami sediakan cadangannya dan ia dalam proses pelaksanaan. Dengan adanya program seperti ini kami berharap ia akan berjaya melahirkan masyarakat madani. Walaupun ada program rasmi yang dikendalikan kerajaan atau badan-badan tertentu, tetapi sebenarnya perubahan dalam masyarakat sudahpun berjalan sejak dari awal yang berbangkit daripada apa yang dibaca di dalam surat khabar.

Banyak orang kampung dan tua-tua sekarang seperti yang saya temui di Kampung Raja Musa, Kuala Selangor - yang tidak pernah mengenali komputer berminat untuk menggunakan Internet. Ini adalah hasil promosi kerajaan dan juga pihak-pihak media seperti anda. Kesedaran itu sudah berbangkit dan yang tinggal ialah hanya untuk melaksanakannya.

Inilah yang kita perlu belajar. Berbalik kepada soalan tadi, usaha rasmi dan sistematik serta organik perlu dilaksanakan. Kita tidak dapat mengawal semuanya tetapi kita boleh memudahkannya dengan membantu mewujudkan persekitaran yang positif. Selepas daripada itu bagaimana ia berlaku, di mana dan siapa adalah terpulang kepada mereka sendiri.

Saya kerap menerima pelawat dari luar negeri dan apabila mereka membuka akhbar kita dan membaca artikel mereka terperanjat kerana kata mereka di negara mereka perkara seperti Koridor Raya Multimedia (MSC) dan NITA ini tidak dibincangkan.

Dengan laporan seperti persidangan yang kita adakan, orang ramai akan tahu dan ia boleh menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat.

MEGABAIT: Bagaimana dengan tahap kesedaran masyarakat luar bandar seperti di Pantai Timur misalnya mengenai IT ini?

TENGKU AZZMAN: Saya rasa ia bercampur-campur. Perbezaan tahap kesedaran IT antara masyarakat bandar dan luar bandar memang wujud. Bukan itu sahaja, malahan dari segi akses dan kemudahan seperti telefon serta fizikal lain juga masih berbeza dan agak ketinggalan.

Ini saya lihat sendiri di Kampung Raja Musa. Namun begitu mereka mempunyai budaya yang berlainan dengan masyarakat bandar. Misalnya jika diadakan satu-satu program, hampir seluruh penduduk kampung datang dan memberi sokongan terhadap program berkenaan.

Kalau di bandar, untuk menganjurkan satu-satu program memang susah untuk mendapat sambutan. Perbezaan itu memang ada tetapi kita perlu mengambil sudut positifnya. Soal akses rasanya itu tidak menjadi masalah kerana ada banyak teknologi yang boleh digunakan seperti teknologi tanpa wayar misalnya.

MEGABAIT: Kerajaan ada cadangan untuk mengadakan kempen pemilikan komputer dan penembusan Internet ke luar bandar seperti yang dikemukakan oleh Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini. Apakah ia boleh membantu menjayakan matlamat tersebut?

TENGKU AZZMAN: Sudah banyak kali saya dengar perkara seperti ini. Kalau betul, saya rasa itu adalah baik tetapi saya harap ia benar-benar dilaksanakan. Jangan hanya menyediakan komputer tetapi kemudian dibiarkan tanpa memberikan tunjuk ajar dan yang penting ialah menyediakan kandungannya.

Ia perlu difikirkan betul-betul. Jika setakat menyediakan komputer ia adalah mudah tetapi untuk menyediakan aplikasi dan perkhidmatannya itu yang agak sukar. Saya rasa untuk sebagai medium pembelajaran itu bagus.

Oleh kerana hampir setiap rumah mempunyai anak-anak dan jika tidakpun, orang dewasa juga boleh meningkatkan tahap pelajaran, ekonomi dan sosial mereka.

Kami sendiri telah menyediakan Skim Geran Aplikasi Penunjuk Cara (GADS) untuk membantu meningkat perkara-perkara seperti ini di kalangan komuniti. Bukannya di bandar-bandar tetapi di ceruk-ceruk kampung sekalipun. Kalau ia berjaya dilaksanakan di Kuala Selangor misalnya, di mana-manapun ia boleh dilaksanakan dengan jaya.

MEGABAIT: Tengku ada mengemukakan mengenai K-Ekonomi (ekonomi berasaskan pengetahuan) dalam persidangan Multimedia Asia 99 baru lalu tetapi masih banyak yang belum jelas mengenainya dan sejauh mana ia boleh diterapkan di negara kita?

TENGKU AZZMAN: Untuk memahami K-Ekonomi kita perlu menggunakan kaedah perbandingan. Apa yang membuatkan ia sukar kerana fikiran kita tersekat dengan paradigma yang selama ini dipakai.

Sekarang kita lebih kepada P-Ekonomi (ekonomi berasaskan fizikal atau pengeluaran). Misalnya kita menanam padi, kita siram, membubuh baja, membajak dan lain-lain yang semuanya adalah proses fizikal. K-Ekonomi tiada proses fizikal tetapi memakai rantaian bernilai (value chain).

Apabila kita hendak menanam padi, kita perlu tahu bahan organik di dalam tanah, jenis baja sesuai yang perlu digunakan dan sebagainya sehinggalah ke proses pemasaran. Ini semua maklumat dan gabungan antara K-Ekonomi dan P-Ekonomi. Kita juga boleh memisahkan K-Ekonomi itu sendiri misalnya menyediakan maklumat atau khidmat runding kepada petani. Tetapi itu baru tahap maklumat.

K-Ekonomi ialah produk itu sendiri. Sebagai contoh kita menggunakan kaedah bioteknologi untuk memilih benih. Begitu juga proses pengeluaran.

Sekiranya kita menambahkan kandungan pengetahuan dalam proses itu, ia akan memberi lebih nilai kepada hasil kita. K-Ekonomi tidak sama dengan P-Ekonomi dan perbezaan itu dari segi semua termasuk pengurusan dan lain-lain. Itu secara umum.

Secara khususnya, terdapat dua aspek utama Ñ yang paling banyak memberikan hasil ialah pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi. Keduanya, ialah 'net' (Internet). Ia adalah sumber pengetahuan dan merupakan alat komunikasi paling berkesan serta menyediakan infrastruktur lain untuk menjayakan K-Ekonomi.

K-Ekonomi merupakan ekonomi bentuk baru. Pada masa yang sama ia juga merupakan alat sokongan kepada sains dan teknologi. Sains dan teknologi membantu komunikasi dan pengetahuan, logistik serta pengurusan. Dengan bantuan pengetahuan net ini, kadang kala sains dan teknologi dapat ditingkatkan.

Pelaksanaan K-Ekonomi tidak dapat dielakkan kerana ia adalah proses perubahan dan kita perlu mengikutinya. Ia perlu dilaksanakan dengan struktur dan paradigma baru sebab ia bernilai.

MEGABAIT: Apakah hubungannya antara K-Ekonomi ini dengan masyarakat madani yang menjadi arah tuju NITA?

TENGKU AZZMAN: Masyarakat bermaklumat sebenarnya selari dengan tuntutan Islam. Semua mengetahui bahawa Islam menitikberatkan pengetahuan. Ayat Al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah ialah Iqra' (Bacalah!). Ertinya, Allah menuntut agar umat Islam mendalami ilmu dan ilmu itu ialah pengetahuan. Berdasarkan masyarakat madani ini, kita menggerakkan masyarakat kepada K-Ekonomi atau ekonomi berasaskan ilmu.

MEGABAIT: Sejauhmana tahap pelaksanaan atau keupayaan K-Ekonomi dalam masyarakat kita?

TENGKU AZZMAN: Kita masih mengamalkan konsep P-Ekonomi (ekonomi berasaskan pengeluaran). Berdasarkan kajian yang kami buat, tahap pengetahuan pekerja kita masih jauh rendah berbanding negara-negara lain.

Sebagai contoh dalam industri elektronik, kami mendapati tahap pekerja bernilai tambah (berpengetahuan) kita masih tertinggal (dari segi pengetahuan) berbanding para pekerja sektor yang sama di Singapura apalagi dengan Amerika Syarikat yang hampir 10 kali ganda. Malahan dengan pekerja di Indonesia, kita hanya berada sedikit di atas.

Dari segi industri teknologi tinggi pula, di Amerika Syarikat, Jepun boleh mencapai 100,000 pekerja setahun. Korea hampir mencapainya, Singapura belum tetapi Malaysia, jauh sekali. Ini bukan cerita dongeng tetapi kenyataan.

Kalau kita bandingkan dengan negara-negara sedang membangun kita memang berada di tahap paling atas tetapi berbanding negara-negara maju, kita masih jauh tertinggal. Kita menyedari hal ini sebab itu, kita sudah berusaha sekian lama ke arah itu.

Pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah salah satu usaha untuk menghadapi cabaran ini tetapi ia hanyalah permulaan sahaja dan MSC tidak boleh menyelesaikan semua masalah di negara ini. MSC tidak boleh menyelesaikan masalah penanam padi, penoreh getah atau penanam sayur atau lain-lain industri. Sebab itu kita perlukan K-Ekonomi.

MEGABAIT: Tengku pernah mencadangkan agar rancangan MSC diteliti semula. Bolehkah dijelaskan lebih lanjut mengenainya?

TENGKU AZZMAN: Soalan ini banyak dikemukakan kepada saya. Kalau kita lihat sekarang ini, banyak perubahan berlaku. Tetapi jika kita masih terus melakukan perkara-perkara yang sama seperti dulu, ia tentunya tidak sesuai. Katakanlah suasana di Kuala Lumpur dahulu dan sekarang. Dulu banyak pengayuh beca di bandar raya Kuala Lumpur. Jika kita masih mengayuh beca di Kuala Lumpur sekarang, tentulah tidak sesuai dan boleh membahayakan. Begitu juga dalam pelaksanaan MSC.

Ketika kami menyusun perancangannya (MSC) dahulu pada 1994, banyak perkara yang agak mustahil dahulu kini menjadi nyata. Jadi, jika suasana sudah berubah seperti sekarang atau akan datang tetapi kita tidak berubah, ia tidak akan memberikan hasil seperti yang dikehendaki.

Saya bercakap bukan mengenai MSC sahaja tetapi semua perkara termasuk K-Ekonomi ini. Ia bagi mengiringi perubahan yang berlaku pada masa kini dan akan datang.

Kalau kita masih ditakuk lama sedangkan suasana sudah berubah, Indonesia dan Thailand mungkin boleh mengatasi kita suatu hari nanti. Sekarang ini negara-negara ini masih ketinggalan berbanding dengan kita dan kita bukan saingan mereka.

Sepatutnya saingan kita sekarang ialah Singapura, Jepun, Korea atau Taiwan. Jepun masih mengamalkan P-Ekonomi tetapi lebih ke hadapan dari segi kepakaran tetapi belum capai K-Ekonomi. Negara yang benar-benar mengamalkan K-Ekonomi ialah Amerika, Kanada dan beberapa negara Eropah. Korea pula sudah menuju ke arah ekonomi berasaskan Internet untuk bersaing dengan Jepun.

MEGABAIT: Sejauh mana tahap penggunaan Internet di kalangan masyarakat kita khususnya untuk tujuan mendalami pengetahuan?

TENGKU AZZMAN: Sebenarnya kita masih berada di peringkat belajar. Kita belum lagi menggunakan Internet pada tahap sepenuhnya. Kita belum mampu mencipta komuniti atau membangunkan kandungan.

Kami sentiasa memantau laluan trafik Internet kami (Jaring) dan kami dapati tiga peratus daripada bahan dari luar negara dibawa masuk ke sini berbanding bahan tempatan dibawa ke luar negara. Dengan kata lain, sebanyak 75 peratus bahan diambil dari luar negara, hanya 25 peratus bahan dari sini diambil oleh negara luar. Oleh sebab itu kita perlu mencipta kandungan dengan lebih banyak seperti kandungan perniagaan, pembelajaran dan lain-lain.

Memang kita masih belum menggunakan Internet untuk tujuan pengetahuan tetapi lebih kepada maklumat dan berbual (chat). Tetapi saya tidak nampak di mana kebaikan aktiviti berbual di Internet ini. Bagi pengguna pemula mungkin ya, tetapi kalau sudah mengenali Internet sepatutnya mereka perlu menggunakannya untuk tujuan yang lebih menguntungkan.

Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membangunkan lebih banyak kandungan tempatan dan kami di NITC sentiasa membantu syarikat yang mahu membina kandungan seperti ini termasuk membiayai pembangunan sehingga 70 peratus.

MEGABAIT: Berapa lama tempoh yang diperlukan oleh kita untuk mencapai tahap penggunaan Internet secara sepenuhnya?

TENGKU AZZMAN: Tahun ini saya menjangkakan pertumbuhan pelanggan Internet mampu mencapai 10 peratus daripada pendudukan. Saya kira itu suatu yang memberangsangkan.

Hasil daripada itu, saya menjangkakan pertumbuhannya akan meningkat secara pantas tetapi bergantung kepada banyak faktor. Salah satu faktor penting ialah kandungan, aplikasi serta perkhidmatan dan bukannya penyambungan.

Kami boleh bekalkan sambungan jika ada permintaan. Sekarang pun kita sudah memiliki 73 nod sambungan Internet - suatu jumlah yang cukup banyak dan kos penyediaannya juga tinggi. Tetapi jumlah penggunanya tidak banyak.

MEGABAIT: Terima kasih.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next