Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie berkata, tahun lalu sahaja jumlah nama domain tempatan mencapai 5,231 iaitu meningkat 126 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, peningkatan jumlah pendaftar nama domain tempatan itu menunjukkan bahawa minat di kalangan masyarakat di negara ini terhadap penggunaan Internet semakin menggalakkan.
"Peningkatan dua kali ganda jumlah pendaftaran domain (tempatan) ini merupakan isyarat yang baik hasil daripada rangsangan pertumbuhan minat dalam penggunaan Internet di Malaysia,'' katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Rumusan E-Dagang Kebangsaan, anjuran Persatuan Pelabur-pelabur Malaysia (MIA), di Kuala Lumpur Selasa lepas.
Moggie berkata, kesuburan minat di kalangan masyarakat tempatan terhadap Internet juga ditunjukkan dari peningkatan penggunaan Internet di seluruh negara yang dianggarkan melebihi dua juta pengguna.
Kata beliau, pertumbuhan tersebut membuka peluang yang cukup lebar bagi pengusaha di negara ini untuk menjalankan kegiatan perniagaan berasaskan Internet, atau e-dagang.
"Kerajaan sangat menggalakkan kegiatan e-dagang dan telah menyusun pelbagai usaha untuk mempertingkatkan pembangunan aktiviti tersebut di negara ini,'' katanya.
Ini termasuk penyediaan rejim pelesenan bentuk baru untuk syarikat-syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan, yang diumumkan beliau 31 Mac lepas.
Sementara itu, laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Rangkaian Malaysia (MYNIC), pengendali perkhidmatan pendaftaran domain bagi Malaysia menunjukkan jumlah pendaftaran nama tersebut mencatatkan peningkatan kira-kira dua kali ganda setahun dalam tempoh lima tahun lalu.
Menurut pusat yang berpangkalan di MIMOS Berhad itu, sehingga akhir tahun lepas, jumlah pengguna yang mendaftar nama domain dengan pusat berkenaan mencapai 9,899.
Berbanding tahun 1995 yang hanya berjumlah 151 nama, pendaftaran untuk digunakan oleh kalangan perniagaan itu meningkat kepada 714 pada tahun berikutnya.
Jumlah itu terus melonjak kepada 1,491 nama pada 1997; 2,312 pada 1998 dan 5,231 nama domain berdaftar pada tahun lepas.
Manakala Januari tahun ini sahaja mencatatkan 590 nama domain tempatan yang telah didaftarkan, kata laporan tersebut.
Jumlah tersebut bagaimanapun, tidak termasuk mereka yang mendaftar nama-nama domain dengan pusat-pusat penyediaan rangkaian serupa di luar negara.
Daripada 9,899 domain yang berdaftar dengan MYNIC itu sehingga tahun lepas, 8,742 didaftarkan atas nama .com.my, 404 (.net.my), 257 (.org.my), 287 (.gov.my) dan 209 lagi atas nama .edu.my
Persidangan E-Dagang yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh MIA dengan ditaja oleh Digicert Sdn. Bhd. dan Multi-Purpose Bank Bhd. serta mendapat sokongan di kalangan syarikat-syarikat IT tempatan dan antarabangsa.
|