Home : Digicert @ News     Cybersign Sedia Bekerjasama dengan Digicert
     
Cybersign Sedia Bekerjasama dengan Digicert
 
http://www.utusan.com.my
Updated: July 23, 2000

________________________________________________________________________________________________________________

 

Pengerusi Eksekutif MDC, Tan Sri Dr. Othman Yeop Abdullah berkata, kedua-dua pihak berkuasa pemerakuan itu dapat berganding bahu untuk mengembangkan penggunaan sijil digital di rantau ini.

Menurut beliau, kedua-dua pihak dapat menggunakan pelantar sijil digital masing-masing untuk ditawarkan kepada mana-mana syarikat di rantau ini yang mahu menggunakannya.

''Dalam hal ini Cybersign dan Digicert dapat saling melengkapi antara satu sama lain dalam menawarkan perkhidmatan pengeluaran sijil digital.

"Jadi tidak timbul pertindihan fungsi antara kedua-dua pihak,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil Status Koridor Raya Multimedia (MSC) kepada Digicert, di Cyberjaya baru-baru ini.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie. Turut hadir, Pengerusi Digicert, Tan Sri Zainol Mahmood.

Digicert adalah syarikat perkongsian antara Pos Malaysia Berhad dan MIMOS Berhad itu merupakan Pihak Berkuasa Pemerakuan (CA).

Syarikat itu bertanggungjawab mengeluarkan sijil pemerakuan digital untuk keperluan transaksi melalui Internet khususnya urusan perniagaan elektronik (e-niaga).

Manakala Cybersign yang merupakan anak syarikat MDC itu akan menjadi pihak berkuasa pemerakuan kedua negara yang turut menyediakan perkhidmatan serupa di peringkat serantau.

Sebelum itu dalam ucapannya, Dr. Othman berkata, walaupun kini Malaysia memiliki dua pihak berkuasa pemerakuan tetapi tidak akan timbul satu persaingan.

Ini kerana menurut beliau, dalam era ekonomi digital masa kini dan akan datang, lebih banyak syarikat dan organisasi yang memerlukan sijil digital untuk keperluan perniagaan elektronik mereka.

"Permintaan untuk perkhidmatan yang disediakan oleh Digicert dan Cybersign ini nanti mahu tidak mahu akan meningkat.

"Firma penyelidik IDC Malaysia menjangkakan ekonomi Internet di Malaysia akan mencapai sekurang-kurangnya RM11.4 bilion pada 2003,'' katanya.

Sementara itu Zainol berkata, sejak Julai 1999, Digicert telah mengalami kadar pertumbuhan yang sihat dan usaha untuk mengembangkan perniagaan serta teknologi akan dipergiatkan.

Katanya, sehingga kini Digicert telah mengeluarkan 30,000 unit sijil digital kepada para pelanggan dan mensasar untuk mengeluarkan sehingga 80,000 unit menjelang akhir tahun ini.

"Kami juga sedang berusaha untuk melaksanakan program sijil digital silang dengan rakan-rakan kami dari negara-negara ASEAN.

"Di dalam jangka masa yang tidak lama lagi, penggunaan sijil digital antara negara-negara ASEAN akan diterima secara standard,'' katanya.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next