Home : Digicert @ News     Pengguna Internet Guna SD Menjelang 2003
     
Pengguna Internet Guna SD Menjelang 2003
 
http://www.utusan.com.my
Updated: January 24, 2001

________________________________________________________________________________________________________________

 

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Digicert Sdn. Bhd. (Digicert), Lembaga Persijilan (CA) berlesen pertama di negara ini mensasarkan kesemua pengguna Internet tempatan akan melanggan sijil digital (SD) menjelang tahun 2003.

Buat masa ini, bilangan pengguna Internet di Malaysia adalah antara 1.5 juta hingga 2 juta orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Digicert, Noor Azli Othman yakin menjelang tempoh itu negara akan mempunyai aplikasi yang mencukupi untuk SD seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.

Noor Azli memberitahu Utusan di sini baru-baru ini, ''Di AS, penggunaan SD sudah hampir menyeluruh disebabkan oleh aplikasinya yang mencukupi.

SD yang ditawarkan kepada individu dan syarikat merupakan satu kenyataan mengenai identiti seseorang yang berurus niaga di dalam alam siber yang turut berperanan menjaga keselamatan satu-satu laman web dari dicerobohi.

Digicert adalah syarikat usaha sama di antara Pos Malaysia Bhd. yang memegang 51 peratus ekuiti dengan Mimos Bhd. yang menguasai bakinya 49 peratus.

Menurut Noor Azli, penggunaan SD diramalkan akan terus berkembang di seluruh dunia kerana ia menawarkan produk keselamatan yang akan selamanya diperlukan oleh manusia.

Tahun lalu, Digicert berjaya menerbitkan lebih 63,000 SD dan ini mencerminkan bilangan yang amat sedikit berbanding pengguna Internet di negara ini.

Noor Azli berkata, sebagai langkah pertama mempromosikan SD, pihaknya akan memperbanyakkan program kesedaran mengenai SD melalui penyebaran maklumat dengan mengadakan seminar, bengkel dan iklan.

''Kami juga akan memperbanyakkan usaha-usaha membantu para pelanggan berpotensi untuk memajukan aplikasi SD.

''Ini diikuti usaha pengembangan yang akan dilakukan melalui penjualan sijil oleh ejen-ejen Lembaga Pendaftaran (RA) yang kami lantik untuk menerbitkan SD,'' katanya.

Ejen RA yang telah dilantik oleh Digicert ialah Pos Malaysia, Mimos, Rangkaian TeleKomunikasi Bersepadu Kerajaan (GITN) Sdn. Bhd. dan Sains Sarawak di samping MOL. com (satu-satunya RA yang mengeluarkan SD secara dalam talian).


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next