Home : Digicert @ News     Digicert Yakin Akan Raih Keuntungan
     
Digicert Yakin Akan Raih Keuntungan
 
http://www.utusan.com.my
Updated: January 24, 2001

________________________________________________________________________________________________________________

 

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Digicert Sdn. Bhd. (Digicert), pengeluar sijil digital untuk urus niaga secara elektronik di negara ini yang telah melabur hampir RM9 juta sejak ditubuhkan pada tahun 1998, tetap yakin akan meraih untung.

Ketua Pegawai Eksekutif Noor Azli Othman berkata, ''Kami tidak fikir akan memperoleh sebarang keuntungan dalam tempoh setahun dua ini tetapi yakin, sebagai sebuah entiti yang besar, akhirnya kami tetap akan mencatatkan keuntungan.

''Tambahan pula, tujuan utama syarikat ini ditubuhkan adalah untuk membantu kerajaan merangsang pertumbuhan e-dagang di negara ini,'' kata beliau kepada Utusan baru-baru ini.

Digicert, merupakan syarikat usaha sama di antara Pos Malaysia Bhd. dan Mimos Bhd. itu yang menyediakan pengesahan identiti bagi urus niaga dalam Internet.

Noor Azli berkata, lonjakan SD bukan sahaja mengalami pergerakan yang lembap di negara ini sekalipun telah diperkenalkan sejak lima tahun lalu tetapi juga di serata dunia.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini syarikat itu telah menunjukkan pretasi yang memberangsangkan.

Noor Azli menyalahkan perkembangan yang lembap itu disebabkan oleh kurangnya kesedaran terhadap keperluan keselamatan dan faktor aplikasi SD di negara ini yang masih tidak mencukupi.

Katanya, ''sekalipun kesedaran mengenainya adalah tinggi, tetapi jika aplikasinya tidak ada, tidak guna juga pengguna Internet melanggan SD.

''Contohnya, jika aplikasi perbankan Internet tidak ada, orang beli SD tapi nak guna untuk apa?,'' kata Noor Azli.

Beliau menambah, di kalangan orang awam yang bukan pengguna Internet, SD mungkin dianggap sebagai satu produk yang tidak menarik seperti mana tetikus atau papan kekunci yang boleh disentuh.

Malah, sesetengah pengguna Internet berfikiran bahawa mereka tidak memerlukan SD sehinggalah mereka berhadapan dengan masalah, katanya.

Noor Azli, bagaimanapun meramalkan Digicert membuat jualan lebih memberangsangkan tahun ini.

''Kami mempunyai infrastruktur yang canggih dan terbaik dari segi infrastruktur kekunci peribadi (PKI) di negara ini malah mungkin di rantau ini.

''Saya akan menentukan kedudukan syarikat supaya berorientasikan pemasaran, memenuhi kehendak pelanggan dan akhirnya berupaya menjana pendapatan syarikat,'' kata beliau.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next