Home : Digicert @ News     Laman Web Broker Saham Kian Popular
     
Laman Web Broker Saham Kian Popular
 
http://www.utusan.com.my
Updated: January 28, 2001

________________________________________________________________________________________________________________

 

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Perdagangan secara elektronik (e-dagang) yang mendapat perhatian besar telah melahirkan begitu banyak laman web baru termasuk broker saham elektronik yang semakin membuktikan keupayaannya sebagai sumber utama perniagaan di abad ini.

Di negara ini juga, pelancaran demi pelancaran laman-laman web broker saham diadakan oleh syarikat-syarikat sekuriti tempatan.

Mereka menyediakan para pelanggan dengan akses ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang menawarkan data-data harga saham pada masa sebenar berserta analisis dan komen.

Urus niaga saham menerusi talian ini membolehkan pelanggan berinteraksi secara langsung dengan pengendali broker saham Internet untuk sebarang urusan jual beli saham.

Bagaimanapun, sejauh mana kerahsiaan dan keselamatan transaksi secara elektronik ini masih menjadi keraguan banyak pihak sekalipun keunggulannya ternyata di beberapa negara maju lain yang lebih dulu mempraktikkannya seperti Amerika Syarikat dan Jepun.

Ini kerana, perdagangan cara itu telah lari daripada kaedah tradisional yang memberikan peluang untuk bersemuka di antara pelanggan dan wakil peniaga - sekali gus dikatakan mampu meningkatkan tahap kepercayaan pelanggan.

Tidak dinafikan, keselamatan menjadi salah satu ciri terpenting di dalam mana-mana sistem urus niaga kewangan sama ada secara fizikal, apatah lagi elektronik.

''Dunia e-dagang sememangnya bergantung kepada faktor elektronik untuk perlindungan data, komunikasi dan urus niaga.

''Dan sebagai institusi kewangan atau pembrokeran berlandaskan perkhidmatan Internet, isu utama yang perlu diselesaikan adalah 'keyakinan pengguna','' kata Ketua Pegawai Eksekutif, Digicert Sdn. Bhd., Noor Azli Othman.

Apabila semakin ramai yang mengirimkan maklumat sulit secara dalam talian, begitu juga sama pentingnya untuk memastikan kesemua dokumen itu tidak boleh dipalsukan atau dibaca oleh orang lain kecuali penerima yang hak.

Bagi tujuan inilah, Digicert Sdn. Bhd. (Digicert) telah menawarkan sijil digital (SD) yang mampu mengesahkan identiti seseorang yang berurus niaga di alam siber sebagaimana fungsi kad pengenalan di alam nyata.

SD memberikan empat kelebihan kepada para pengguna iaitu ketulenan, kerahsiaan, tidak boleh dipertikaikan (non-repudiation) dan keselamatan.

Ketulenan: Apabila menerima mesej, ia diketahui datang daripada orang yang sebenar dan bukan orang lain

Kerahsiaan: Ia dinyah sulit dan tidak memungkinkan orang lain boleh membaca mesej yang dihantar

Tidak boleh dipertikaikan: Apabila telah ditandatangani, seseorang itu tidak boleh mempertikaikan bahawa mesej yang sampai kepada penerima bukan kirimannya

Keselamatan: Mengurangkan kemungkinan data diusik atau diubahsuai

Noor Azli menambah, Digicert terlebih dahulu mahu mengubah tanggapan awam serta cara pemikiran mereka terhadap keselamatan komunikasi dalam talian.

''Dengan menjadikan pertukaran data menerusi Internet lebih selamat dan boleh dipercayai, kami seterusnya bermatlamat untuk meningkatkan perniagaan e-dagang.

''Ini kerana, ia sememangnya menjanjikan satu revolusi khususnya bagi perdagangan pembrokeran,'' katanya.

Nilai urus niaga e-dagang di negara ini dijangka bernilai RM5 bilion pada tahun ini termasuk broker saham dalam talian yang dirangsang oleh peningkatan kepentingan perniagaan.

Dengan pengenalan pelbagai perkhidmatan broker saham ditokok oleh keterbukaan industri itu kepada para pemain asing, adalah dijangkakan pasaran-pasaran baru bagi perdagangan saham maya akan terus berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para pengendali laman web serta para pelanggan masing-masing untuk memastikan tahap jaminan keselamatan yang maksimum apabila mengadakan urus niaga.

Janganlah kita membiarkan kedangkalan sendiri mengenai keselamatan dalam talian yang sememangnya ada di hadapan mata, membantutkan perkembangan pesat e-dagang di negara ini.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next