Home : Digicert @ News     DigiCert Pantau Kesahihan Laman Web
     
DigiCert Pantau Kesahihan Laman Web
 
http://www.utusan.com.my
Updated: May 20, 2001

________________________________________________________________________________________________________________

 

DIGICERT Sdn. Bhd. (DigiCert) telah diberi tanggungjawab untuk menjadi pihak ketiga yang akan mengesahkan kesahihan sesebuah laman web untuk program ProTrust.

ProTrust yang diuruskan oleh BizAid Technologies Sdn. Bhd. (BizAid) merupakan program perkhidmatan bernilai tambah bagi membantu syarikat perniagaan menentukan kesahihan maklumat korporat yang ada pada laman web.

Ketua Eksekutif BizAid, Victor Ooi berkata, ProTrust adalah perkhidmatan menggunakan pihak ketiga sebagai sumber menentukan maklumat korporat yang dipaparkan pada laman web adalah sahih.

Menurut beliau, pada masa ini banyak kes tentang pemalsuan maklumat yang dipaparkan dalam laman web menyebabkan pihak yang hendak berurus niaga memerlukan satu mekanisme bagi menghalang kegiatan berkenaan daripada berleluasa.

``Dengan adanya ProTrust seperti ini, ia akan memanfaatkan pihak ketiga untuk memberi jaminan kesahihan maklumat yang dipaparkan.

``Kami yakin DigiCert boleh memainkan peranannya memandangkan ia adalah organisasi pertama yang dilantik kerajaan menguruskan pengesahan sijil digital di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian kerjasama berkenaan, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada majlis itu, DigiCert diwakili Ketua Eksekutifnya, Noor Azli Othman.

Di bawah perjanjian tersebut, DigiCert dilantik sebagai pihak ketiga bagi menentukan kesahihan maklumat syarikat yang menyertai program ProTrust BizAid sebelum syarikat terbabit memiliki cop ProTrust.

Ooi berkata, bagi menentukan sesuatu maklumat yang dipaparkan itu adalah tepat, satu perunding bebas yang dilantik DigiCert terdiri daripada anggota profesional dan akademik untuk menilai ketepatan maklumat terbabit akan dibentuk.

``Selepas penilaian dilakukan, apabila DigiCert berpuas hati dengan cadangan yang dikemukakan perunding terbabit maka syarikat berkenaan layak menerima cop ProTrust,'' katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga kategori cop ProTrust iaitu gangsa, perak, emas dan platinum dengan setiap satunya dimanfaatkan untuk kategori berbeza berdasarkan keperluan syarikat terbabit.

Caj minimum yang dikenakan untuk cop ProTrust gangsa ialah RM800, perak (RM1,500), emas (RM3,000) dan platinum (RM6,000). Selain itu, syarikat turut dikenakan caj tahunan untuk mengemas kini maklumat itu.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next