Home : Digicert @ News     Pasaran Produk iVEST MIMOS Diperluas
     
Pasaran Produk iVEST MIMOS Diperluas
 
http://www.utusan.com.my
Updated: September 26, 2001

________________________________________________________________________________________________________________

 

KUALA LUMPUR 26 Sept. - MIMOS Berhad yang membangunkan perkhidmatan sijil digital untuk transaksi elektronik selamat, iVEST dua tahun lalu, akan memperluaskan pasaran produk itu kepada pengguna bukan korporat mulai bulan depan.

Ia merupakan antara pendekatan jangka panjang organisasi itu memperluaskan penggunaan iVEST dalam urus niaga Internet secara selamat.

Pengarah Penjualan dan Pemasaran iVEST, Ong Hock Kian berkata pihaknya akan mengadakan kempen promosi bagi menggalakkan penggunaan kemudahan berkenaan yang disediakan dalam bentuk kad kredit, dalam urus niaga membabitkan Internet pada bulan November.

``Kami menganggarkan dapat menarik pelanggan dalam lingkungan 50,000 hingga 100,000 orang dalam tempoh setahun akan datang,'' kata beliau ketika ditemui di sini.

Sebelum ini, iVEST yang merupakan salah satu bahagian inovasi MIMOS memfokuskan pemasaran produk iVEST ataupun Virtual Environment for Secure Transactions kepada penggunaan di kalangan mereka dalam bidang perbankan dan korporat.

Sejak dilancarkan pada November 1999, iVEST telah dilanggani kira-kira 10,000 pelanggan sektor korporat dan kewangan.

``Berdasarkan kemudahan-kemudahan yang dilengkapkan dalam kad iVEST, yang memenuhi keperluan pengguna sektor korporat dan bukan korporat, MIMOS yakin bilangan penggunanya akan mengalami peningkatan selepas ini,'' katanya.

Kad iVEST membolehkan penyediaan persekitaran selamat dan juga perkhidmatan selamat bagi urusan sijil digital yang akan ditawarkan melalui Digicert Sdn. Bhd., pihak Berkuasa Pemerakuan (CA) sijil digital pertama di negara ini.

iVEST merupakan hasil teknologi MIMOS sendiri. Ia merupakan satu hasil usaha syarikat penyedia kemudahan Internet tempatan memberi prasarana lebih selamat kepada pengguna Internet.

Perkhidmatan-perkhidmatan yang disepadukan menerusi kad iVEST ialah perbankan, bayaran bil termasuk langgan Jaring, urus niaga saham, membeli-belah talian terus. Kemudahan perbankan mula ditawarkan dalam beberapa hari lagi manakala bayaran bil Jaring mulai penghujung tahun ini.

Selain itu, produk-produk dan penyelesaian iVEST termasuklah perisian aplikasi iVEST Win2000 Desktop, e-mel, penyelesai pengurusan dokumen, aplikasi perdana kerajaan elektronik, pengurusan rangkaian bekalan global, kawalan lalu masuk ISP, aplikasi berasaskan web, aplikasi berasaskan bukan web, iCASH dan Infrastruktur Kunci Awam (PKI).

Pengurusan rangkaian bekalan global akan menemui pelanggan tidak lama lagi manakala PKI pula tahun depan.

Ong yakin bahawa bilangan pelanggan dari kalangan bukan korporat akan mengalami peningkatan apabila PKI turut disepadukan bersama kad pelbagai guna MyKad yang dilancarkan awal bulan ini.

``Budaya penggunaan kad seperti ini akan mengalami peningkatan dalam jangka panjang memandangkan kesedaran untuk berurusan secara selamat dalam urus niaga menggunakan kemudahan Internet bertambah luas.

``Kad ATM (mesin teler automatik) bank juga mengalami suasana seumpama itu di peringkat awal tetapi ia menjadi sebahagian dari hidup kita selepas 10 tahun pelaksanaannya,'' katanya lagi.

Mengenai rancangan masa depan memperluaskan kad iVEST, Ong memberitahu, pihaknya bercadang untuk mengembangkan penggunaan kad tersebut di kalangan rakyat negara-negara Asia.

``Mengikut perancangan kami, ia akan diusahakan mulai tahun depan,'' katanya.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kemudahan E-Asia.


 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next