Berakhirnya kemelut e-niaga yang melibatkan penutupan beribu-ribu laman web yang nampak canggih tetapi tidak bermutu, kini yang tinggal hanyalah laman-laman web dengan aplikasi yang amat berguna, mempunyai nilai kepada masyarakat sebagai pengguna biasa.
Masyarakat kini boleh melakukan transaksi perbankan di Internet, membayar bil secara talian terus serta berkomunikasi dengan lebih cepat serta mudah melalui surat elektronik (e-mel).
Bagaimanapun masalah baru wujud ketika melakukan urusan menerusi Internet yang membabitkan masalah pengesahan diri dan keselamatan.
Memandangkan pengguna Internet mungkin berada beribu-ribu kilometer, adalah sukar untuk mengenal pasti dengan tepat individu dan syarikat berkenaan yang hanya dikenali berdasarkan nama pengguna atau ID Pengguna dan kata laluan.
Malahan terdapat banyak kes di mana pengguna tertipu oleh portal-portal yang dibangunkan semata-mata untuk memerangkap pengguna Internet supaya memberikan maklumat rahsia seperti nombor kad kredit dan maklumat peribadi sehingga membawa masalah besar kepada pembekal perkhidmatan dan juga pengguna.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ada jawapan untuk memastikan bahawa setiap transaksi yang dilakukan di internet dilindungi daripada kecurian, diubahsuai atau daripada digunakan oleh orang lain iaitu menggunakan aplikasi Prasarana Kekunci Awam (PKI) MyKad yang bertindak sebagai alat pengesahan diri dalam sebarang transaksi di Internet.
Aplikasi PKI merupakan aplikasi kelapan bagi Mykad selepas aplikasi kad pengenalan, lesen memandu, maklumat pasport, Touch 'n Go, maklumat kesihatan, e-tunai dan mesin juruwang automatik (ATM).
Pengarah Bahagian Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan, JPN, Wan Md. Ariffin Ismail berkata, aplikasi PKI merupakan satu penyelesaian yang sangat berfaedah kepada aplikasi perbankan Internet, syarikat-syarikat di pasaran saham, sektor-sektor kewangan dan pengajian tinggi serta syarikat-syarikat insurans.
Ia juga mampu untuk digunakan bagi membina satu rangkaian korporat yang selamat sama ada di sektor awam atau sektor swasta.
Wan Md. Ariffin berkata, melalui aplikasi PKI, ia akan membolehkan orang ramai menggunakan perkhidmatan secara talian terus dengan selamat menggunakan tandatangan digital yang merupakan salah satu ciri yang terdapat dalam PKI untuk mengenal pasti identiti seseorang secara tepat dan cepat.
Beliau menambah, bank-bank yang mempunyai kemudahan perbankan Internet atau syarikat yang mempunyai kemudahan laman web boleh menggunakan aplikasi ini untuk mengenal pasti secara tepat dan cepat pengguna yang menggunakan sesuatu akaun itu adalah pelanggan sebenar. Ini kerana identiti pelanggan itu dapat dikenal pasti semasa urusan itu dijalankan.
Menerangkan lebih lanjut mengenai aplikasi terbaru MyKad, PKI dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Wan Md. Ariffin berkata, pada masa ini kaedah yang digunakan oleh bank-bank atau pembekal perkhidmatan untuk mengenal pasti seseorang pelanggan menerusi Internet ialah ID pengguna dan kata laluan, pengguna atau pelanggan akan diberikan satu ID pengguna dan kata laluan bagi membolehkan mereka melakukan transaksi.
Walaupun kaedah ini terkenal dan paling banyak digunakan, malangnya ia sangat mudah untuk disalahgunakan. Kata laluan sangat mudah digodam atau pun ditiru secara atas talian.
Wan Md. Ariffin berkata, PKI MyKad adalah lebih selamat kerana ia bertindak sebagai pengenalan diri kepada pengguna dan tidak boleh disalahgunakan ataupun ditiru secara atas talian, seseorang pengguna itu memerlukan kedua-dua iaitu nombor pin dan MyKad untuk memperkenalkan diri kepada pembekal perkhidmatan secara talian terus.
Ujar beliau, MyKad perlu dimasukkan ke dalam pembaca kad yang disambungkan secara talian terus melalui komputer serta memasukkan nombor pin sebelum identiti pengguna itu dapat disahkan melalui Internet.
``Tanpa MyKad seseorang tidak boleh menggunakan akaun Internet tersebut dan cara ini adalah lebih selamat kerana pemilik sebenar MyKad itu sahaja yang boleh menjalankan transaksi tersebut memandangkan MyKad itu sentiasa berada dengannya.
``Sekiranya MyKad itu jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab, mereka tidak boleh menggunakan MyKad itu untuk menggunakan aplikasi PKI seperti menjalankan urusan di Internet memandangkan, ia perlu mengetahui nombor pin dan nombor sijil digital MyKad terbabit,'' katanya.
Wan Md.Ariffin memberitahu,ini adalah langkah-langkah keselamatan yang terdapat dalam aplikasi PKI MyKad, perlindungan keselamatan secara total iaitu sekiranya tiada MyKad, transaksi tidak boleh dijalankan dan sekiranya MyKad ada tetapi tidak ada nombor pin dan nombor sijil digital, transaksi juga tidak boleh dijalankan.
Namun Wan Md.Ariffin memberi amaran, sekiranya MyKad, nombor pin dan nombor sijil digital jatuh ke tangan orang lain maka pemilik MyKad itu akan berhadapan dengan masalah besar kemungkinan akuan Internet mereka digunakan tanpa kebenaran.
Bukti
Ciri keselamatan paling utama menurut beliau, transaksi yang dilakukan menggunakan PKI MyKad dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Tandatangan Digital 1997.
Ini bermakna transaksi yang dilakukan oleh pelanggan tidak boleh diubah dan sekiranya berlaku, pelanggan boleh mengambil tindakan undang-undang dan tidak boleh dipertanggungjawab atas perubahan yang dilakukan.
Bagi pembekal perkhidmatan pula, pelanggan tidak boleh mengatakan, mereka tidak membuat transaksi tersebut memandangkan, pengenalan diri melalui PKI MyKad terdapat dalam sistem komputer pembekal perkhidmatan dan ia merupakan bukti sahih di bawah Akta Tandatangan Digital.
Wan Md. Ariffin menjelaskan, bagi membolehkan orang ramai menggunakan aplikasi PKI MyKad ini, mereka perlu mendaftar dengan salah satu dari dua buah badan pengesahan yang telah diluluskan oleh kerajaan iaitu MSC Trusgated Sdn.Bhd. dan Digicert Sdn. Bhd.
Pendaftaran dengan salah satu badan pengesahan ini akan membolehkan PKI MyKad pengguna diaktifkan. Pengguna akan diberi nombor pin dan sijil digital iaitu dua perkara penting untuk melakukan transaksi di Internet.
Pengguna juga akan dibekalkan dengan program komputer dan pembaca kad untuk disambungkan dengan komputer.
Wan Md. Ariffin berkata, pengguna perlu mengeluarkan perbelanjaan kecil semasa mendaftar untuk menggunakan PKI MyKad dengan badan pengesahan terbabit seperti yuran sijil digital tahunan, bayaran pembaca kad dan kos-kos lain yang ditentukan sendiri oleh badan pengesahan itu dan JPN atau kerajaan tidak terlibat dalam menentukan bayaran yang akan dikenakan.
``Pada masa ini hanya dua badan pengesahan dilantik untuk mendaftarkan pengguna bagi menggunakan aplikasi PKI MyKad dan kemungkinan ia akan ditambah pada masa depan bergantung kepada penerimaan pengguna terhadap aplikasi ini,'' katanya.
Beliau memberitahu, kemudahan PKI MyKad ini diperkenalkan untuk menjadikan MyKad bukan setakat kad pengenalan tetapi dapat berperanan lebih daripada itu. Ia bertujuan untuk menjadikan MyKad satu-satunya kad yang digunakan oleh rakyat negara untuk menjalankan urusan seharian.
Wan Md. Ariffin berkata, ini bermakna orang ramai tidak memerlukan kad kredit, kad pengeluar wang atau pelbagai kad lain untuk menjalankan urusan seharian cukup dengan sekeping MyKad, mereka boleh mengeluarkan wang, menjadikannya kad kredit di samping kad pengenalan dan lesen memandu.
Ujar beliau, MyKad yang kini menggunakan cip pemprosesan 64K cukup besar untuk memuatkan pelbagai aplikasi bagi kemudahan orang ramai di samping ia dikeluarkan secara percuma oleh kerajaan.
Pihak bank atau syarikat-syarikat tertentu pula tidak perlu membangunkan sistem jaringan keselamatan pengenalan pengguna,cukup hanya menggunakan aplikasi PKI MyKad yang termaktub di bawah Akta Tandatangan Digital.
Ujarnya, JPN akan memperkenalkan lebih banyak aplikasi dalam MyKad bagi memastikan sasaran kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996; ``Malaysia akan menjadi satu-satunya negara di dunia yang mempunyai satu-satunya kad pintar untuk bertindak sebagai kad pengenalan diri, tandatangan digital dan mempunyai kemudahan untuk menggunakan kemudahan kerajaan, bank, kemudahan kredit, telekomunikasi, pengangkutan dan kesihatan.''
|