Home : Digicert @ News     Digicert Yakin Tarik 3 Juta Pengguna
     
Digicert Yakin Tarik 3 Juta Pengguna
 
http://www.bharian.com.my
Updated: August 7, 2006

________________________________________________________________________________________________________________

 

Pelanggan korporat bertambah kepada 15 syarikat menjelang 2008

DIGICERT Sdn Bhd, penyedia pemerakuan sijil digital, yakin pelanggan korporatnya akan bertambah kepada 15 syarikat membabitkan tiga juta pengguna menjelang akhir 2008, berbanding lima syarikat dengan 500,000 pengguna ketika ini.

Ketua Eksekutifnya, Noor Azli Othman, berkata syarikat sedang berunding dengan beberapa agensi kerajaan dan sektor korporat, terutama dalam sektor perbankan dan insurans, untuk menggunakan khidmatnya.

Katanya, penggunaan perakuan sijil digital diperkenalkan lebih lima tahun lalu, namun pertumbuhannya di negara ini agak perlahan kerana kesedaran pengguna masih kurang.

“Bagaimanapun, dengan berkembangnya urus niaga dan aktiviti secara dalam talian mendorong organisasi berkaitan mengambil langkah meningkatkan ciri keselamatan bagi memastikan transaksi yang dilakukan tidak menimbulkan keraguan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, kesedaran pengguna, khususnya institusi perbankan, bahawa penggunaan khidmat pihak ketiga sebagai penyedia pemerakuan adalah lebih murah dan dipercayai berbanding penggunaan kata laluan (password), turut meningkatkan potensi penggunaan pemerakuan sijil digital.

Katanya, antara organisasi besar yang menggunakan khidmat Digicert termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bumiputra-Commerce Bank Bhd (BCB), selain beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Bagi persiapan menghadapi penambahan jumlah pelanggan, Noor Azli berkata, Digicert yang memiliki pusat perlindungan data di Bangi, Selangor, akan memindahkan kemudahan itu di Cyberjaya, sebelum akhir tahun ini.

Katanya, kemudahan baru itu mampu menampung hingga empat juta pelanggan menjelang 2010.

Digicert, syarikat milik 55 peratus Pos Malaysia Bhd dan 45 peratus Mimos Bhd, adalah pihak berkuasa pemerakuan berlesen dengan peranan utama mengeluarkan sijil digital kepada pengguna internet iaitu pihak ketiga yang diberi kuasa berdasarkan Akta Tandatangan Digital 1997.

Ia ditubuhkan pada 1998 susulan daripada akta berkenaan yang menggalakkan penggunaan Prasarana Kekunci Awam (PKI) sebagai mekanisme tunggal pengesahan diri di Internet.

Syarikat yang bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan pengurusan pemerakuan seperti pengesahan identiti individu yang memohon untuk pengeluaran atau pembatal sijil digital itu juga menguruskan kitar hidup sijil digital yang dikeluarkan, selain menghantar, menyimpan dan mengarkib sijil serta penyenaraian pembatalan sijil digital.

Sijil digital pula adalah satu bentuk pengenalan diri yang boleh dijadikan bukti ketika individu melakukan transaksi melalui internet.

Noor Azli berkata, Malaysia adalah antara negara paling maju di dunia dalam memanfaatkan teknologi internet sekali gus menghampiri perkembangan yang berlaku di Eropah.

“Sweden dan sebahagian negara Eropah lebih awal menggunakan aplikasi ini, tetapi Malaysia tidak ketinggalan jauh, malah adalah yang paling maju di Asean,” katanya.



 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  |  Next