KUALA LUMPUR 28 Mac – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjangkakan lebih 1.5 juta pembayar cukai perseorangan akan menghantar borang cukai secara elektronik menggunakan sistem e-Filing pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarahnya, Datuk Hasmah Abdullah berkata, jangkaan itu adalah 50 peratus daripada keseluruhan pembayar cukai berdaftar yang kini berjumlah 4.5 juta orang.
Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kecenderungan penggunaan e-Filing yang mencatatkan peningkatan luar jangkaan sejak diperkenalkan pada 2006.
Katanya, pada tahun pertama, hanya 180,000 pembayar cukai menggunakan e-Filing tetapi ia mencatatkan peningkatan 369.5 peratus atau 874,814 orang pada tahun lalu.
‘‘Saya mempunyai impian besar untuk melihat peratusan pembayar cukai menggunakan e-Filing mencapai 80 peratus dalam tempoh kurang lima tahun daripada tarikh ia diperkenalkan,’’ katanya pada sidang akhbar sempena majlis penyerahan video panduan penggunaan e-Filing di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Digicert Sdn. Bhd., Noor Azli Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah.
Hasmah berkata, jangkaan peningkatan penggunaan e-Filing juga diasaskan pada pengenalan Prasarana Kekunci Awam Secara Perayauan (Roaming Public Key Infrastructure - PKI) yang bermula pada tahun ini.
Katanya, Roaming PKI yang dibangunkan dengan kerjasama Digicert adalah aplikasi tandatangan digital berpusat secara atas talian untuk mengesahkan identiti pembayar cukai.
‘‘Roaming PKI akan memudahkan pembayar cukai menghantar borang e-Filing kerana mereka tidak perlu lagi memuat turun sijil digital masing-masing,’’ jelasnya.
Selain itu, katanya, LHDN turut memperkenalkan sistem e-Filing untuk ejen cukai yang membolehkan ejen itu menghantar borang secara elektronik bagi pihak pelanggan mereka.
Hasmah turut menyeru pembayar cukai membuat pembayaran secara elektronik (e-payment) melalui perkhidmatan yang disediakan di laman web LHDN dan bank terpilih.
Katanya, LHDN memulakan sistem pembayaran elektronik sejak 2001 dan membabitkan bank-bank komersial seperti CIMB, Maybank, Public Bank, Bank Islam dan Hong Leong Bank.
Mengenai video panduan e-Filing, Hasmah berkata, ia akan dimuatkan dalam laman web LHDN bagi memudahkan pembayar cukai membuat panduan ketika mengisi dan menghantar borang secara elektronik.
Beliau juga berharap, lebih ramai majikan mahu bekerjasama dengan LHDN untuk membuka kaunter cukai di pejabat mereka sempena Bulan Promosi Pembayar Cukai, April ini.
|