Home : Digicert @ News     Bayar cukai guna telefon pintar
         

Bayar cukai guna telefon pintar
 
Update: April 26, 2011
Source : http://www.bharian.com.my
/ Ahmad Farizal Hajat
________________________________________________________________________________________________________________

 

LHDN perkenal medium baru sistem e-Filing permudah proses bayaran

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperkenalkan sistem pembayaran cukai menerusi penggunaan telefon pintar tidak lama lagi, justeru mewujudkan satu lagi medium pilihan kepada orang awam melaksanakan tanggungjawab masing-masing selain menggunakan borang dan sistem e-filling di komputer.

LHDN semalam melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatan sokongan sistem e-Filling yang diberikannya kepada Digicert Sdn Bhd untuk tempoh dua tahun.

Kedua-dua pihak berkenaan kini sedang bekerjasama menjalankan ujian terperinci berhubung isu keselamatan penggunaan sistem taksiran cukai pendapatan individu menggunakan internet di telefon pintar.

Ketua Eksekutif Digicert, Dato’ Noor Azli Othman, berkata kaedah pembayaran cukai menerusi telefon pintar dikenal pasti bakal mempermudahkan lagi proses pembayaran cukai di negara ini.

“Jumlah penggunaan telefon pintar kini kian meningkat di Malaysia dan fenomena ini, adalah menjadi hasrat Digicert bersama LHDN untuk mempelopori penggunaan sistem e-Filling dalam telefon pintar. Justeru, kami kini giat melaksanakan beberapa kajian dan ujian untuk memastikan kesesuaian penggunaan sistem ini dan jika semuanya berjalan lancar ia akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada media selepas memeterai lanjutan tempoh kontrak perkhidmatan sokongan sistem e-Filling di Putarajaya semalam.

Digicert, anak syarikat milik penuh Pos Malaysia Bhd adalah syarikat yang diiktiraf kerajaan untuk mengeluarkan sijil digital yang sah bagi aplikasi sistem e-Filling LHDN.

Pada majlis itu, Dato’ Noor Azli mewakili Digicert, manakala LHDN diwakili Ketua Eksekutif dan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar.

Ia disaksikan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat dan Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar.

Datuk Dr Mohd Shukor berkata, pemilihan telefon pintar sebagai medium baru bagi sistem e-Filling amat bertepatan kerana ia lebih mudah diakses berbanding computer.

“Perleluasan kemudahan aplikasi elektronik sebegini akan dapat membantu LHDN untuk terus kekal relevan sebagai penyedia perkhidmatan percukaian yang terbaik selain menjadikan LHDN sebagai pentadbir cukai yang terunggul di dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shukor berkata, LHDN yakin dapat memenuhi sasaran kerajaan untuk mencatatkan jumlah kutipan cukai sebanyak RM 91 bilion tahun ini, peningkatan sebanyak RM 5 bilion daripada RM 86 bilion pada tahun lalu.

“Sasaran peningkatan itu juga atas faktor ekonomi yang kini meningkat dan pelan ekonomi yang stabil,” katanya sambil menambah sebanyak 2.2 juta pembayar cukai dijangka menggunakan e-Filling tahun ini, berdasarkan peningkatan 30 peratus jumlah pekerja.  

     
     
 
 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
  Previous  | Next